Advertising

Oh Yeah : Andrea Pirlo Pernah Menolak Tawaran Untuk Sertai Barcelona

Views
 

Andrea Pirlo mendedahkan bahawa beliau pernah menolak peluang untuk menyertai Barcelona pada 2010, kerana beliau gembira untuk kekal bersama AC Milan pada ketika itu.

Bekas pemain antarabangsa Itali ini pernah ditawarkan peluang untuk ke Nou Camp sebagai sebahagian daripada perjanjian oleh Milan untuk membawa Zlatan Ibrahimovic ke San Siro.

 

Sebaliknya Pirlo memutuskan untuk menyertai Juventus pada tahun berikutnya selepas 10 tahun bersama Rossoneri, memenangi empat lagi kejuaraan Serie A di Turin sebelum memutuskan untuk ke Amerika Syarikat untuk menyertai New York City FC.

Pirlo akhirnya mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional selepas beraksi dua musim di Major League Soccer (MLS).

Bagaimanapun, Pirlo mengakui bahawa ia mungkin satu pengalaman yang berbeza jika beliau memilih untuk menyertai Barcelona satu masa dahulu.

 

“Rundingan untuk mendapatkan Ibrahimovic pada ketika itu agak goyah, dan terdapat prospek untuk saya menjadi sebahagian daripada program pertukaran pemain. Namun akhirnya kedua-dua kelab mencapai kata sepakat tanpa melibatkan saya,” ujar Pirlo kepada Sky Sport.

“Saya tidak tahu apakah yang akan berlaku jika menerima cadangan tersebut pada awalnya. Ia mungkin menjadi satu pengalaman yang menarik. Namun saya benar-benar gembira bersama Milan.”

Pirlo yang memenangi dua kejuaraan UEFA Champions League (UCL) ketika bersama AC Milan adalah sebahagian daripada pemain yang menjadi tulang belakang kepada skuad kebangsaan Itali yang menjulang Piala Dunia pada 2006.

 

“Selain daripada saya, skuad Itali juga terdiri daripada Massimo Ambrosini, Gennaro Gattuso, Alessandro Nesta, Christian Abbiati dan Filippo Inzaghi,” ujar Pirlo mengimbau kehebatan skuad Azzurri.

Sejak mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional, Pirlo turut dikaitkan dengan bidang kejurulatihan sebagai pembantu Antonio Conte di Chelsea. Namun sehingga kini, tidak ada sebarang keputusan telah dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Ketika berpeluang untuk menyertai Barcelona, Pirlo sudah pun memiliki dua kejuaraan UCL, satu kejuaraan Serie A dan turut pernah muncul sebagai juara Piala Itali pada musim 2002-03.

 

Sekiranya menyertai Barcelona pada ketika itu, Pirlo berkemungkinan bergelar juara La Liga, kejuaraan ketiga UCL, dan juga naib juara Copa del Rey.

Malah jika beliau terus memilih untuk bersama gergasi Catalan tersebut, ketika yang sama beliau menyertai New York City FC, Pirlo berkemungkinan menambah satu lagi koleksi kejuaraan UCL, dua kejuaraan La Liga, dan satu kejuaraan Copa del Rey.

No comments:

Powered by Blogger.