Advertising

Issei Sagawa - Manusia Kanibal Sebenar Yang Masih Bebas Sehingga Ke Hari Ini

Views

Issei Sagawa lahir pada tahun 1949 di Jepun. Disebabkan lahir pramatang, beliau menghadapi pelbagai komplikasi dan masalah kesihatan yang serius. Beliau lahir dalam sebuah kelurga yang kaya dan berjaya serta mempunyai seorang adik lelaki yang rapat dengannya.

Semasa kecil, bapa dan pakciknya gemar bermain dengan beliau dan adiknya di mana bapa atau pakciknya itu akan berpura-pura menjadi sebuah raksasa yang akan memakan mereka berdua. Permainan ini dipercayai faktor awal yang mewujudkan sifat kanibalisme dalam diri beliau. Apabila semakin meningkat dewasa, sifat kanibalisme dalam dirinya semakin menebal.

Percubaan pertama untuk memakan manusia

Apabila sudah baligh dan dewasa, keinginan beliau untuk memakan manusia semakin membuak-buak ditambah lagi dengan fantasi seks yang pelik. Beliau seringkali terbayangkan keseronokan memakan daging wanita terutamanya wanita dari Barat yang cantik dan seksi seperti Grace Kelly. Walau bagaimanapun, keinginan peliknya itu hanyalah dipendam.

Sehinggalah pada tahun 1972, beliau telah memecah masuk ke dalam sebuah rumah apartmen di Tokyo yang didiami seorang wanita muda dari Jerman. Beliau benar-benar mempunyai niat untuk memakan daging wanita tersebut. Wanita tersebut bernasib baik apabila tersedar sebelum Issei Sagawa sempat menyerangnya. Kerana badannya yang kecil, Issei Sagawa akhirnya terpaksa mengaku kalah dan melarikan diri.



Beliau akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak polis kemudiannya. Menariknya, beliau hanya ditangkap atas tuduhan cubaan merogol mangsa, bukan disebabkan cubaan serangan seksual, membunuh dan memakan mangsa!

Walau bagaimanapun, bapanya yang kaya telah berbincang dengan mangsa dan menawarkan membayarnya sejumlah wang yang besar sekiranya mangsa bersetuju menarik balik laporan yang dibuatnya.

Beliau akhirnya dibebaskan tanpa sebarang rekod kesalahan jenayah.

Membunuh dan memakan rakan sendiri

5 tahun selepas ditangkap, beliau yang pada ketika itu berumur 28 tahun telah berpindah ke Paris untuk melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa dan kesusasteraan di universiti terkemuka Paris-Sorbonne University.

Setelah menamatkan pengajian dan bekerja beberapa tahun sebagai seorang penulis, beliau akhirnya bertemu dan berkawan baik dengan seorang wanita dari Belanda yang berumur 25 tahun.

Wanita yang bernama Renee Hartevelt itu merupakan seorang pelajar dan selepas beberapa lama berkenalan, beliau seringkali datang ke rumah Issei Sagawa untuk belajar mengenai bahasa Jerman. Pada ketika inilah Issei Sagawa meneruskan rancangan dan keinginannya untuk memakan manusia.



Beliau kemudiannya telah membeli sepucuk pistol untuk merealisasikan keinginannya untuk membunuh dan memakan dagingnya itu. Pada 11 Jun 1981, ketika Renee sedang membaca sebuah puisi, Issei telah menembaknya dari belakang.

Setelah wanita tersebut dibunuh, beliau kemudiannya telah melakukan amalan  necrophilia, iaitu melakukan seks bersama mayat tersebut.

Selepas merogol mayat tersebut, beliau telah memotong mayat tersebut kepada beberapa bahagian kecil. Ada bahagian mayat tersebut yang dimakan mentah dan ada yang dimasak terlebih dahulu.

Dalam tempoh 2 hari, beliau berjaya makan beberapa bahagian mayat tersebut antaranya peha, bibir, dada dan beberapa bahagian lain sebelum beliau mengambil keputusan untuk membuang bahagian mayat tersebut yang belum dimakan.



Mayat wanita itu telah dimuatkan ke dalam 2 buah beg bagasi dan dibuang di sebuah taman awam di Paris. Tidak lama kemudian, beg-beg tersebut telah ditemui oleh 2 orang awam yang kebetulan berada disitu. Hasil bantuan polis dan pemandu teksi yang menghantar Issei ke taman tersebut, beliau akhirnya berjaya ditangkap.

Terlepas daripada tuduhan

Kes ini tidak tamat disitu sahaja. Setelah ditangkap, pihak penyiasat juga menemui kad identiti mangsa dan beberapa bahagian mayat yang telah dimasak. Selama 2 tahun lamanya, beliau telah ditahan di Paris dan diperiksa oleh ahli psikologi.

Hasil kepakaran peguam yang dilantik ayahnya, Issei telah disahkan mempunyai masalah mental dan oleh itu, tidak layak disabitkan atas kesalahan yang dilakukannya itu. Beliau kemudianya telah diletakkan di bahagian unit psikiatrik dengan kawalan ketat selama 4 tahun.



Selepas 4 tahun, peguam yang dilantik bapanya berjaya meyakinkan mahkamah bahawa adalah lebih baik sekiranya Issei boleh dibawa pulang ke Jepun untuk dirawat. Pada tahu 1984, beliau telah dibawa pulang dan ditempatkan di hospital Matsuzawa untuk rawatan. 

Doktor psikiatrik yang merawatnya menyatakan bahawa Issei sebenarnya mempunyai masalah personaliti dan bukanlah gila seperti yang didakwa. Ini bermakna, mengikut undang-undang, beliau boleh disabitkan atas kesalahan membunuh yang dilakukannya.

Malangnya, pihak berkuasa Jepun tidak berjaya mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Perancis untuk mendakwa Issei. Kira-kira 15 bulan selepas menghabiskan masa di unit psikiatrik, beliau akhirnya diserahkan untuk jagaan ibu bapanya. Dalam kata lain, beliau dibebaskan tanpa sebarang kesalahan!

Ketika artikel ini ditulis, Issei Sagawa masih hidup bebas berkeliaran di Tokyo. Beliau juga ada menulis buku mengenai kanibal dan pengalamannya memakan daging manusia. Selain itu, beliau tanpa berselindung mengatakan beliau masih mempunyai keinginan untuk memakan daging manusia lagi.

Sumber : Vice, Wikipedia, Illuminasi

No comments:

Powered by Blogger.