Advertising

Penerbangan AirAsia AK416 Terpaksa Dilencongkan Kerana Seorang Kakitangannya Meninggal Dunia Dalam Pesawat

Views

Seorang kakitangan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) meninggal dunia dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bandung, Indonesia, hari ini.

Insiden itu menyebabkan penerbangan AK416 terpaksa dilencongkan dan membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor.

AirAsia dalam kenyataan media mengesahkan bahawa penerbangan AK416 dari Kuala Lumpur ke Bandung, Indonesia itu dialihkan ke LTAS kerana kecemasan perubatan.

Menurutnya, kakitangan AirAsia itu mendapat rawatan perubatan segera selepas mendarat, tetapi disahkan meninggal dunia mati oleh doktor di lapangan.

"Keluarga AirAsia sedih dengan kehilangan kakitangan kami ini dan kami mengucapkan takziah buat keluarganya.

"Kami akan memberikan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa ketika tempoh ini," katanya.

Kenyataan AirAsia berkata, pesawat itu kemudian berlepas dari LTAS pada 9 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara, Indonesia pada 10.11 pagi.

Katanya, keselamatan penumpang adalah keutamaan mereka dan pihaknya sentiasa berusaha untuk memberikan bantuan terbaik apabila berdepan keadaan seumpama ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dibuat kakitangan syarikat penerbangan itu berhubung kematian mangsa.

Beliau berkata, lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun itu terus dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai dengan menggunakan ambulans sebaik mendarat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.