Advertising

Pesanan Khas Untuk Ibu Bapa - Jangan Terlalu Manjakan Anak, Ajar Sekali Sekala 'Survival Skill' Supaya Tidak Menyesal Di Kemudian Hari

Views
Gambar oleh : edphotographykedah@gmail.com a.k.a mzaidi

Mungkin ayat ''ajar anak hidup susah'' sudah biasa kita dengar. Namun, semua orang yang pernah melalui kesusahan hidup pasti tidak mahu anak mereka melalui apa yang pernah mereka lalui dahulu. Susah itu sebenarnya satu perkataan yang subjektif. Ajar anak hidup susah, bukanlah tidak menyediakan kelangkapan anak-anak seperti yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa.

Mengajar anak untuk tahu apa itu erti susah adalah sebenarnya salah satu cara untuk mendidik mereka bahawa apa sahaja yang mereka minta bukanlah boleh dapat semudah lidah yang menuturkan kata-kata. Setiap sesuatu itu memerlukan usaha yang jitu.

Perkongsian daripada Norizan Bin Sharif melalui laman facebook mungkin boleh dijadikan renungan buat ibu bapa di luar sana. Kesusahan merupakan realiti hidup yang perlu ditelan oleh anak-anak. Sekiranya ibu bapa sudah tiada, anak-anak masih mampu berdiri dan meneruskan hidup mereka sendiri.

Jom kita baca perkongsian seperti di bawah ini. Adakah anak-anak anda sudah disiapkan dengan ''survival skill'', atau selalu merungut tak dapat apa yang mereka mahukan, tahu hanya meminta-minta tanpa usaha? Anda nilaikan sendiri. Semoga bermanfaat.

SURVIVAL SKILL

1. Sekiranya kita sayang anak-anak, berikan mereka survival skill. Usah terlalu melindungi sehingga mereka merungut, merungut dan merungut apabila tak dapat apa yang mereka mahukan.

2. Anak sulung saya tak dapat tamat belajar tadika kerana saya tak mampu bayar yuran. Saya berhentikan dia. Ini realiti kehidupan yang beliau hadapi seawal prasekolah. Alhamdulillah, dia tamat belajar dan mendapat ijazah dalam jurusan Perakaunan.

3. Anak kedua saya bekerja sepenuh masa sewaktu buat ijazah. Siang kerja, malam pergi kuliah. Saya tanya kenapa tak belajar full time, dia jawab tak mahu hilang senioriti. Sewaktu bekerja sekarang, dia buat professional certification. Semua dia bayar sendiri, tak buat pinjaman dan tak ada biasiswa.

4. Anak ketiga saya ada ijazah dari Australia dan masters dari UK. Sebelum dapat kerja engineer, dia jual barangan online dan jual susu kurma Farm Fresh di tepi jalan.

5. Anak bongsu saya sedang jalani kursus untuk jadi Certified Aircraft Maintenance Engineer. Sabtu dan Ahad dia bekerja sambilan.

6. Saya sebutkan ini untuk berikan contoh betapa kita kena latih anak-anak dengan survival skill.

7. Biar mereka hidup susah. Biar mereka faham bahawa inilah realiti hidup.

8. Walau bagaimana hebat ibu bapa, kita tidak boleh melindungi anak-anak sepanjang masa. Sampai masa kita akan mati.

9. Walau bagaimana prihatin sekalipun kerajaan, sampai masa kerajaan bertukar. Atau, polisi kerajaan bertukar disebabkan pelbagai faktor.

10. Anak-anak yang dilatih dengan survival skill akan berupaya berenang sendiri apabila ibu bapa dan kerajaan sudah tak mampu berikan pelampung lagi.

Sumber : Siakap Keli

No comments:

Powered by Blogger.