Advertising

Keputusan UEFA Champions League Pusingan Ke 16 - Sadio Mane Meledak Hatrik Untuk Membelasah Porto FC 5-0

Views

Liverpool mengikuti jejak langkah pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City untuk mencatatkan kemenangan besar dalam perlawanan pertama saingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah dibantu oleh jaringan hatrik daripada Sadio Mane.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu berjaya menumpaskan wakil Portugal, Porto dengan keputusan 5-0 di Estadio do Dragao.

Trio jentera serangan Mohamamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane memainkan peranan yang penting apabila mereka bertiga mencetak nama selaku penjaring gol buat Liverpool.


Sadio Mane membuka tirai jaringan pada minit ke-25 selepas mendapat umpanan dari Georginio Wijnaldum. Pemain antarabangsa Senegal itu meledakan rembatan yang menewaskan Jose Sa di gawang tuan rumah.

Empat minit kemudian, Salah mempamerkan ketenangan mengawal bola dihadapan pintu gol Porto dan kemudiannya menolak masuk bola bagi menjadikan keputusan 2-0.

Memasuki babak kedua, Liverpool terus menggandakan asakan bagi terus melebarkan jaringan.

Sadio Mane menambah jaringan ketiga pada minit ke- 53 sekaligus yang kedua peribadi buat beliau pada perlawanan ini dengan rembatan susulan dilakukannya selepas percubaan awal dari Roberto Firmino berjaya dinafikan Jose Sa.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Roberto Firmino turut meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-69 setelah beliau dengan tenang menyempurnakan hantaran lintang dari James Milner.

Mane terus menambah luka buat tuan rumah dengan ledakan dari luar kotak penalti untuk jaringan ke-5 perlawanan yang juga merupakan hatrik buat beliau pada perlawanan ini.

Porto turut memperoleh beberapa peluang untuk mencipta jaringan namun terpaksa menelan kepahitan gagal untuk memberikan sesuatu yang menggembirakan penyokong setia mereka.

Satu kemenangan selesa buat Jordan Henderson dan rakan sepasukan dan tidak keterlaluan untuk memperkatakan bahawa Liverpool sudah sebelah kaki untuk melayakkan diri ke saingan suku akhir piala berprestij di Eropah itu.



Sumber : Semuanya Bola

No comments:

Powered by Blogger.