Advertising

Nugget McDonald's Pun Ada Jual Online? Boleh Percaya Ke?

Views

Penjualan nugget McDonald's (McNuggets) secara terbuka di laman sosial oleh segelintir peniaga menimbulkan persoalan sama ada produk yang ditawarkan itu asli atau tiruan.

Berdasarkan posting yang dimuat naik di Facebook, beberapa peniaga mendakwa nugget berkenaan adalah 100 peratus sama seperti yang dijual di restoran McDonald's seluruh negara.

Paparan skrin promosi jualan nugget di Facebook yang didakwa peniaga sebagai nugget McDonald's.

Salah seorang peniaga yang dihubungi melalui aplikasi Whatsapp mendakwa apa yang ditulisnya di Facebook untuk mempromosikan produk tersebut adalah betul.

"Ya betul, sebab kami ambil dari pembekal yang sama dengan McDonald's," balas peniaga berkenaan, menjawab pertanyaan yang diajukan berhubung nugget yang dijualnya.

Peniaga berkenaan, seorang wanita, berkata nugget berkenaan dijual pada harga RM25 sekilogram dengan setiap paket mengandungi 50 ketul hidangan itu.


Seorang lagi peniaga turut menyatakan hal sama. Dakwanya, dia mengambil sendiri nugget berkenaan dari pembekal McDonald's.

"Ini memang nugget asli McDonald's, saya ambil secara terus dari kilang pembekal mereka.

"Kalau tak percaya, cuba beli, goreng dan rasa sendiri," dakwa peniaga itu, juga melalui WhatsApp.

Bungkusan nugget yang didakwa nugget McDonald's yang dijual online.

Bagi mendapatkan kepastian, kami menghubungi pembuat dan pembekal nugget untuk rangkaian restoran segera itu, MacFood Services (M) Sdn Bhd untuk mendapatkan kepastian mengenai dakwaan tersebut.

Maklumat yang diperolehi menunjukkan McNuggets keluaran syarikat tersebut dibuat khusus untuk premis rangkaian makanan segera itu sahaja.

Difahamkan, selain dikeluarkan oleh syarikat itu eksklusif untuk McDonalds, produk McNuggets tidak jual kepada pihak lain.

Dalam pada itu, mStar Online telah menghubungi pihak McDonald's Malaysia bertanyakan isu ini dan masih menunggu maklum balas berhubung dakwaan ini.

Sumber : Mstar

No comments:

Powered by Blogger.