Advertising

Proton Wira Dan Toyota Hilux Adalah Kenderaan Yang Paling Banyak Dicuri Di Malaysia Untuk Tahun 2017

Views

Tahun ini, Proton Wira dan Toyota Hilux masih lagi kenderaan yang paling banyak dicuri di Malaysia, menurut Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) dalam laporan NST.

CEO Persatuan berkenaan, Mark Lim Kian Wei mendedahkan sejumlah 654 unit Proton Wira dan 537 unit Toyota Hilux telah direkodkan sebagai kenderaan yang telah dicuri sepanjang 2017 – kedudukan dua model berkenaan nampaknya kekal dari tahun 2014 dan 2015 dalam laporan tahun lalu sebagai kenderaan paling banyak dicuri di negara ini.

Ditempat ketiga pula ialah Perodua Kancil dengan jumlah tuntutan insuran kerana dicuri sebanyak 378 unit, diikuti oleh Proton Iswara (340 unit), Perodua Myvi (290 unit), Proton Waja (231 unit), Proton Saga (214 unit), Honda Civic (133 unit), Honda City (119 unit) dan Toyota Vios (117 unit).

Namun untuk 2016, jumlah kecurian terhadap kenderaan dilihat menyusut sebanyak 23% dengan jumlah keseluruhan 15,323 unit untuk semua kelas kenderaan, termasuk milik persendirian dan komersial. Bagi kenderaan persendirian, sejumlah 5,625 unit telah direkodkan membuat tuntutan insuran kerana dicuri sepanjang 2017, berbanding 7,610 pada tahun 2016.


“Sementara itu, 8,874 unit motosikal telah membuat tuntutan kecurian, turun dari 11,009 unit pada tahun 2016 dan 824 unit kenderaan komersial membuat tuntutan, berbanding 1,386 pada tahun sebelumnya,” jelas Lim.

Lim turut menyatakan bahawa pembabitan Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan (VTREC) turut membantu dalam mengurangkan angka kecurian kenderaan. “VTREC bukan sahaja terlibat bersama pengendali insuran, ia juga mendapatkan bantuan dari polis, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sokongan dari Bank Negara Malaysia,” terangnya.

Melihat lebih terperinci, Toyota Vellfire (112 unit) dan Mitsubishi Pajero (77 unit) dinamakan sebagai model “panas” yang kerap dilaporkan dicuri pada 2017. Angka berkenaan diperolehi berdasarkan frekuensi kenderaan tersebut dicuri, apabila kedua-duanya direkodkan pada kadar 0.26%. Model lain yang turut kerap dicuri termasuk Peugeot 308, Peugeot 508, Nissan Vanette, Lexus RX, BMW 7 Series, Proton Perdana dan Ford Courier.

Sepanjang 2017, jumlah tuntutan insuran kenderaan bermotor yang dibayar pada industri dicatatkan pada RM5.38 bilion – peningkatan 7% dari RM5.02 bilion pada tempoh yang sama. Setiap hari, sekitar RM14.7 juta tuntutan dibuat oleh kesemua pengguna insuran kenderaan bermotor kerana kerosakan hartanah, kecederaan badan dan kecurian kenderaan.

Sumber : Paultan

No comments:

Powered by Blogger.