Advertising

Rasmi - Olivier Giroud Sah Sertai Chelsea Dengan Nilai Perpindahan Sebanyak £18 Juta

Views

Jendela perpindahan musim sejuk 2018 menyaksikan kesukaran 3 kelab – Arsenal, Chelsea dan Borussia Dortmund – untuk menyelesaikan isu masing-masing di bahagian serangan.

Arsenal yang jelas tidak lagi berminat dengan servis target man mereka, Olivier Giroud, berminat dengan penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang.

Dortmund pula jelas sudah tawar hati dengan Aubameyang angkara masalah disiplin beliau. Sebagai hukuman, Dortmund dua kali mengenepikan Aubameyang dari skuad 18 pemain bagi dua perlawanan Bundesliga – menentang Wolfsburg dan Hertha Berlin.

Tetapi Dortmund bertegas kepada Arsenal- kelab utara London itu perlu membayar harga yuran perpindahan Aubameyang seperti yang dikehendaki mereka (minimum £55 juta) dan mereka hanya akan melepaskan penyerang kelahiran Gabon itu selepas mendapat pengganti.

Chelsea pula menjadikan jendela perpindahan musim sejuk 2018 kali ini sebagai medan mencari target man sebagai pelan B taktikal ketua jurulatih, Antonio Conte. Sebelum berpuas hati dengan Giroud, Chelsea melihat Edin Dzeko sebagai target man pilihan mereka. Bagaimanapun permintaan gaji Dzeko nyata terlalu tinggi untuk dipenuhi Chelsea.

Satu-satunya penyelesaian ideal yang bakal memuaskan hati ketiga-tiga kelab adalah; Chelsea meminjamkan Michy Batshuayi kepada Dortmund, Dortmund menjual Aubameyang kepada Arsenal dan Arsenal menjual Giroud kepada Chelsea.


Jika ketiga-tiga perjanjian ini berjaya dicapai, ia bukan sahaja akan memuaskan hati ketiga-tiga kelab. Malah menggembirakan ketiga-tiga pemain yang mahu bermain dengan lebih kerap menjelang kempen Piala Dunia 2018 pada musim panas nanti.

Mana-mana peminat bola sepak Eropah pastinya skeptikal dengan penyelesaian ideal ini. Ia terlalu kompleks. Terlalu banyak pembolehubah yang terlibat.

Tetapi sebaliknya berlaku. Dalam salah satu perjanjian perpindahan paling kompleks pernah kami saksikan, Arsenal, Borussia Dortmund dan Chelsea berjaya mendapat penyerang yang mereka hajati.

Beberapa jam selepas Arsenal mengumumkan perpindahan masuk Aubameyang, giliran Chelsea pula mengumumkan perpindahan masuk Olivier Giroud dari Arsenal.


Dortmund pula mengumumkan kemasukan Batshuayi dari Chelsea secara pinjaman sehingga tamat musim 2017/2018 ini.


Giroud tinggalkan Arsenal selepas 105 gol

Penghijrahan keluar Olivier Giroud yang menjaringkan 105 gol daripada 253 penampilan rasmi bersama Arsenal nyata memberi kesan mendalam kepada Arsene Wenger yang memberikannya kepercayaan untuk bermain di Premier League selepas semusim menyerlah di Ligue 1 bersama Montpellier.

Wenger memuji Giroud sebagai pemain yang 100% komited dengan tugasnya dalam artikel terakhir laman web rasmi Arsenal mengenai penyerang Perancis berusia 31 tahun ini.


“Oli adalah pemain yang memberikan servis terbaik di kelab, tak pernah mengecewakan kami dari segi komitmen dan banyak kali menyelamatkan kami,” kata Wenger.

“Kami menandatangi beliau dari Montpellier dan beliau telah menjadi pemain yang penting untuk Perancis. Kami lalui saat manis dan pahit bersama-sama. Bagi saya, sahsiah beliau adalah paling terbaik,” tambah pengurus Arsenal itu lagi.

Sementara itu Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia memberitahu laman web rasmi Chelsea, “Olivier adalah pemain yang terbukti kualitinya dan kami gembira memanggil beliau sebagai pemain Chelsea.”


“Beliau sudah menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya dan memang sudah selesa dengan budaya bola sepak England. Kami pasti beliau akan menjadi pemain yang fantastik,” katanya lagi.

Giroud berhijrah dari Arsenal ke Chelsea dengan yuran perpindahan sebanyak £18 juta. Beliau ditawarkan kontrak sehingga hujung musim 2019/2020 dengan pilihan lanjutan kontrak selama 1 tahun.


Ketika di Arsenal, Giroud menerima gaji £100,000 seminggu. Kami menjangkakan beliau menerima gaji sekitar £130,000 hingga £150,000 seminggu di Chelsea. Beliau akan memakai jersi bernombor 18 di Chelsea.

Sebelum penghijrahan Giroud diumumkan, Chelsea turut mengumumkan kemasukan pemain bek sayap kiri baru dari AS Roma, Emerson Palmieri.

No comments:

Powered by Blogger.