Advertising

Real Madrid & Liverpool Berjaya Menempah Tiket Ke Suku Akhir Liga Juara-Juara Dengan Selesa

Views

Real Madrid dan Liverpool berjaya melepasi ranjau masing-masing untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Paris Saint-Germain (PSG) lawan Real Madrid

Real Madrid ternyata tidak terganggu dengan provokasi para penyokong Paris Saint-Germain seperti yang dilaporkan sebelum ini apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 di Parc Des Princes.

Berkelebihan dua jaringan selepas menang 3-1 di laman sendiri tempohari menjadi azimat berguna buat anak buah Zinedine Zidane bagi mengharungi perlawanan kedua tersebut.

Aksi pada babak pertama gagal menghadirkan sebarang jaringan walaupun PSG lebih mendominasi penguasaan bola.


Memasuki babak kedua, Real Madrid tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan pendahuluan selepas bintang sensasi mereka, Cristiano Ronaldo melonjak tinggi bagi menanduk masuk bola hasil hantaran yang dilakukan Lucas Vasquez pada minit ke-51.

Perlawanan kemudiannya dicemari dengan layangan kad merah selepas pemain PSG, Marco Veratti menerima kad kuning kedua pada minit ke-66 bagi menyukarkan peluang tuan rumah.

Namun, PSG tidak menyerah kalah apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Edinson Cavani berselang lima minit selepas insiden kad merah tersebut.

Gol berpunca daripada sepakan sudut yang berjaya ditanduk Javier Pastore lalu membias Sergio Ramos, lalu terkena Cavani yang sekaligus memperdayakan Keylor Navas di pintu gol Real Madrid.

Pemain Brazil, Casemiro bagaimanapun berjaya menamatkan sisa perjuangan tuan rumah pada minit ke-80 dengan jaringan kedua yang menjadikan keputusan agregit 5-2 memihak Real Madrid.

Liverpool lawan Porto

Keputusan seri tanpa jaringan di Anfield sudah cukup buat Liverpool untuk menuruti jejak langkah Real Madrid untuk layak ke pusingan suku akhir.

Hal ini kerana skuad bimbingan Jurgen Klopp sudah mempunyai kelebihan lima jaringan selepas menang 5-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik ketika beraksi di Portugal tempohari.


Pada perlawanan ini, Klopp mengotakan janjinya apabila membariskan Adam Lallana sebagai pemain kesebelasan utama dan merehatkan tonggak utama, Mohamed Salah yang hanya dimasukkan pada minit ke-74.

Liverpool mendominasi perlawanan dengan menghasilkan lima percubaan tepat kearah gol lawan, namun, ianya belum cukup untuk membolosi gawang Porto yang dikawal rapi Iker Casillas.

Sumber : Semuanya Bola

No comments:

Powered by Blogger.